
Penternakan kelulut dimerata lokasi di negara kita mula berkembang pesat sekitar 5 - 10 tahun dahulu dengan rancaknya maklumat teknologi mengenai khasiat madu kelulut dan kaedah penternakan kelulut terutama melalui media massa. Ramai penternak mendapatkan info daripada rujukkan di blog-blog, suratkhabar, media elektronik TV, Facebook, buku serta melalui kursus dan latihan oleh pihak kerajaan dan swasta. Pengeluaran madu kelulut mencapai kemuncak terbanyak pada tahun 2016 dimana pada tahun tersebut keadaan cuaca amat mengizinkan dengan kemarau panjang (di Pahang dicatitkan sehingga 4.5 bulan daripada Januari sehingga Mei) dimana ini membolehkan makanan banyak dan kelulut membiak dengan baik. Penulis blog yang membuat pemantauan rapi kepada lebih daripada 280 penternak kelulut di Pahang mendapati mereka gembira dengan tuaian hasil madu kelulut (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun pada Ogos sehingga Disember apabila hujan mulai turun dan bekalan makanan berkurangan terdapat isu serangan Serangga Soldadu Hitam (Hermentia ilucens) dan Kumbang Debunga (Haptoncus luteus) yang memusnahkan koloni kelulut dengan teruk dibeberapa lokasi. Anda boleh membaca banyak tulisan saya dengan membaca rencana tersebut (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Kesan daripada faktur tersebut dan pengurangan penghasilan madu sedangkan permintaan madu kelulut berkhasiat yang hebat menyebabkan berlakunya kemasukkan madu kelulut tiruan dalam negara.

Penjualan madu kelulut tiruan secara tidak terkawal diseluruh negara memang boleh menyebabkan keyakinan pengguna terjejas dan ini merugikan sektor yang berpotensi tinggi ini. Bukan itu sahaja tetapi madu tiruan ini boleh menyebabkan toksik atau keracunan yang menyebabkan pengguna mendapat kesan negatif tanpa mengetahuinya. MS Standard yang dibangunkan ini menetapkan keperluan kualiti, persampelan, penyediaan sampel ujian, ujian, kaedah ujian, pembersihan, pembungkusan dan perlabelanbagi madu kelulut yang dihasilkan oleh lebah kelulut dari jenis Meliponini. MS ini sesuai untuk digunakan sebagai rujukan oleh semua pihak daripada Jabatan, agensi, pengilang, penternak, pengilang, pusat pengumpulan, penjual, pengguna dan semua pihak yang terlibat dengan industri madu kelulut. Apa yang penting adalah ia mampu dijadikan panduan bagaimana untuk menentukan madu kelulut yang dihasilkan dan dijual kepada pengguna berkualiti dan selamat dimakan. Bukan itu sahaja malahan MOSTI melalui Jabatan Standards, Jabatan Pertanian serta beberapa universiti dan pakar berjaya membangunkan MS2679 Amalan Pertanian Baik (APB) pemeliharaan lebah (Tribus Apini) dan kelulut (Tribus Meliponini) sebagai rujukkan dalam aktiviti penternakan lebah untuk tujuan pengeluaran madu.

Menteri MOSTI, Datuk Madius Tangau berkata langkah awal menyediakan MS 2683 diambil bagi memastikan ketulenan madu kelulut dan berjaya untuk dijenamakan sebagai Superfood pertama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kini MS telah siap dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang diharap menjadi dokumen standard yang berwibawa dan bertaraf dunia. Inisiatif untuk membangunkan standard berkenaan adalah disebabkan oleh pemalsuan madu kelulut yang berleluasa di pasaran yang dapat memudaratkan kesihatan rakyat. Selain Standards Malaysia dan MARDI, MOSTI juga telah melibatkan agensi-agensinya iaitu Institut Genom Malaysia (MGI)-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) yang membantu dalam pengumpulan sampel madu kelulut untuk dianalisis dan NanoMalaysia bertanggungjawab untuk mendapatkan sampel dari Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron bersetuju bahawa ketulenan madu kelulut di pasaran sekarang sangat meragukan. Sharif bimbang ia bukan sahaja akan menjejaskan pengusaha lebah kelulut tetapi juga akan memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna. Kerajaan memang memandang serius isu tersebut dan mengambil inisiatif membangunkan standard madu kelulut yang dapat diterima pakai oleh semua pihak. Standard yang dibangunkan itu mengambil kira Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 yang mensyaratkan madu mestilah mengandungi air tidak lebih daripada 20 peratus dan kandungan gula penurun tidak kurang daripada 60 peratus. Selain itu kandungan pemakanan madu yang dipertimbang dalam standard tersebut adalah kandungan karbohidrat, protein, asid amino, vitamin, mineral dan bahan antioksidan. Dalam pada usaha berterusan penjenamaan madu kelulut akan dilakukan dengan melihat kandungan antioksidan iaitu asid fenolik bebas dalam madu. Kandungan bahan-bahan tersebut adalah asas utama pembangunan standard bagi menjamin ketulenan dan kualiti produk yang tinggi. Asas-asas standard tersebut juga bagi memastikan agar status madu lebah kelulut sebagai Superfood Malaysia benar-benar ditepati. Mereka yang ingin mendapatkan kedua-dua standards boleh mendapatkannya dengan mengunjungi lamanweb SIRIM. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!!!..

MADU KELULUT ... ADA STANDARDNYA...
MADU YANG ASLI... JAMIN KUALITINYA...
MS 2683... SIAP UNTUK DIGUNAKANNYA...
MASA HADAPAN...INDUSTRI BERJAYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pentas Utama, Hall Am
MAEPS Serdang, Selangor,
Malaysia.
(10 Muharam 1439H)